RSS Feed
TOP

ABDULLAH IBN ABBAS

Sahabat yang mulia ini merupakan anak kepada bapa saudara Rasulullah saw, iaitu Abbas bin Abd Muthalib. Ibn Abbas lahir tiga tahun sebelum hijrah.Ketika Rasulullah saw wafat, beliau baru berumur tiga belas tahun.Dalam usia itu, beliau telah menghafal seribu enam ratus enam puluh hadis yang diterimanya langsung dari Rasulullah.
Setelah Ibn Abbas lahir ke dunia, bayi yang masih merah itu segera dibawa ibunya kepada Rasulullah saw.Baginda memasukkan air liurnya ke dalam kerongkong bayi itu. Air liur Nabi yang penuh suci dan berkat itulah yang pertama masuk ke dalam perut anak tersebut sebelum susu ibunya.Seiring dengan air liur itu,maka masuklah pula hikmah dan taqwa ke dalam peribadinya.
“...dan barangsiapa yang diberi hikmah,sungguh dia telah diberi kebajikan yang banyak…” (Al-Baqarah:269)
Ketika beliau mula menigkat usia 6 tahun, beliau tinggal di rumah Rasullah saw;ibaratnya seperti abang dan adik yang saling mengasihi.Beliau menyediakan air wudhuk Baginda,ikut solat di belakang Rasulullah,membonceng di belakang Rasulullah.Sehingga beliau bagaikan bayang-bayang yang sentiasa bersama Baginda.
Beliau sangat bersungguh-sungguh dan rendah hati dalam menuntut ilmu.Apabila Rasulullah telah wafat, beliau menuntut ilmu dari ulama’.Beliau pernah bercerita “Apabila seseorang menyampaikan sebuah hadis kepadaku yang diperolehnya dari sahabat Rasulullah, maka ku datangi sahabat itu di rumahnya pada waktu dia tidur siang.Lalu aku bentangkan serbanku dekat tangga rumahnya dan aku duduk di situ menunggu dia bangun.Sementara itu angin bertiup memenuhi tubuhku dengan tanah.Seandainya aku minta izin masuk kepadanya, tentu dia akan mengizinkan,Tetapi memang sengaja aku melakukan demikian supaya aku tidak mengganggu tidurnya.Keyika dia keluar dan melihatku dalam keadaan demikian,dia berkata “Wahai anak bapa saudara Rasulullah, mengapa tidak anda suruh saja seseorang memanggilku,tentu aku akan memenuhi panggilan anda!”Jawabku “Akulah yang harus mendatangi anda.Ilmu harus didatangi,bukan imu yang mendatangi”
Setelah tamat menuntut ilmu,beliau berbakti pula pada masyarakat.Rumahnya diibaratkan seperti university oleh kaum Quraisy.Salah seorang kawan Ibn Abbas berkata “Saya lihat ramai orang berkumpul di jalan menuju ke rumah Ibn Abbas.Saya masuk memberitahunya bahawa sudah ramai orang berdesak-desak di muka pintu” Orang ramai bergilir-gilir belajar ilmu yang dikehendaki.Misalnya setelah tamat golongan yang belajar Al-Quran,masuk pula ke rumahnya golongan yang ingin belajar tafsir Quran.Beliau turut mengajarkan ilmu Faraidh, Sastera Arab, Ilmu Feqah, Ilmu Peperangan dan lain-lain.
Kerana kealiman dan kemahirannya dalam perlbagai bidang ilmu, dia sentiasa diajak bermusyawarah oleh Khalifah Umar bersama-sama ulama’ lain walaupun beliau masih muda ketika itu.Bila Ibn Abbas hadir, Khalifah memberikan tempat duduk yang lebih tinggi dari tempat duduknya dan berkata “Anda l ebih berhak dari kami”.Sehinggakan Khalifah pernah dikritik kerana penghormatan yang diberikan pada Ibn Abbas melebihi ulama-ulama tua.Maka Saidina Umar berkata “Dia pemuda tua, lebih banyak belajar dan berhati terang”
Ibn Abbas tidak termasuk orang yang pandai berkata-kata tetapi tidak melaksanakan.Beliau sentiasa puasa di siang hari dan solat di malam hari.Abdullah bin Mulaikah berkata “ Saya pernah menemani Ibn Abbas dalam suatu perjalanan dari Makkah ke Madinah.Ketika kami berhenti di suatu tempat, beliau bangun di tengah malam.Saya pernah melihatnya pada suatu malam membaca ayat 19 Surah Qaf berulang-ulang sambil menangis sehingga terbit fajar.
Setiap yang bernyawa pasti akan mati.Itulah hakikat alam.Begitu juga dengan sahabat Rasulullah yang kita kasihi ini.Seusai beliau disolatkan dan para sahabat menimbunnya dengan tanah, mereka terdengar suara membaca
“Wahai jiwa yang tenang.Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diridhai-Nya.Masuklah ke dalam kelompok jemaah hamba-hambaKu dan masuklah ke syugaku”
(Al-Fajr:27-30)

0 comments: