RSS Feed
TOP

Selamat Hari Raya Aidilfitri,Selamat Menyambut Hari Kemenangan!!!


Assalamualaikum..

Alhamdulillah setelah sekian lama ana x mencoret di sini kerana tiada kesempata, hari ini Allah izinkan kembali untuk ana kongsikan sedikit yang padanya mungkin kita boleh ambil sedikit manfaat dan amalkan,insya-allah..

Begitu cepat masa berlalu. Tanpa disedari, Ramadan telah pergi meninggalkan kita. Apakah masih ada peluang untuk bertemu dengan Ramadan yang akan datang, hanya Allah jualah yang mengetahuinya. . Sejauh mana kita telah mengisi Ramadan ini dengan sembahan ibadah yang cukup untuk menagih keampunan Allah yang ‘tidak murah’ itu? Berhasilkah kita untuk mendapat nilai Taqwa? Hanya hati kecil di dalam diri masing-masing yang mampu menyebut kadar usaha yang telah dilakukan sepanjang bulan ini. Pujilah Allah bagi mereka yang telah berpenat lelah dan dukacitalah sedalam-dalamnya bagi mereka yang lalai dan leka. Jika Ramadan tidak mampu memperbaiki diri, maka pada hari, minggu dan bulan manakah lagi yang boleh menjadi penyelamat?

Tidak sukar untuk melihat tanda-tanda amal kebaikan seseorang itu diterima. Jika selepas Ramadan, taat dan patuhnya seseorang itu kepada Allah berkekalan maka itulah sebesar-besar nikmat kurniaanNya. Inilah yang Allah perintahkan kepada kita. FirmanNya:
“Dan beribadahlah kamu kepada Tuhanmu sehingga datang kepada kamu sesuatu yang pasti (Al-Yaqeen, iaitu maut)” Al-Hijr:99
Akan tetapi, jika ibadah itu bermusim, setaraf dengan bolasepak, durian atau demam, maka celakalah kesudahannya. Pelbagai tanda dapat dilihat dari ‘tertolak’nya amalan seseorang itu. Jika di bulan Ramadan dia boleh hadir ke masjid setiap hari untuk Solat Tarawih yang sunat, selepas Ramadan dia tidak mampu untuk hadir ke masjid untuk lima Solat Fardhu yang wajib. Jika di bulan Ramadan lidahnya basah dengan Al-Quran dan zikir, maka selepas Ramadan telinganya kembali disumbat dengan alunan suara-suara dan irama lalai yang mengheret kepada kemurkaan Allah. Semoga Allah melindungi kita dari keadaan cela seperti ini.

Madrasah Ramadan yang menghasilkan Taqwa hendaklah digunakan sebaik-baiknya. Kehidupan kita di bumi Ireland ini sememangnya menguji iman dan komitmen kita kepada Islam dan Iman.
Jika Taqwa itu bermaksud menempuh hidup ini dengan penuh hati-hati sebagaimana seorang yang melalui jalan penuh duri bagai yang didefinisikan oleh Ubai bin Kaab Radiyallahu ‘anhu, maka Taqwa itulah yang diperlukan dalam kehidupan kita di sini.
Kita boleh hidup sesuka hati di sini. Makan sahaja apa yang terlintas atau minum sahaja apa yang tercapai, bercampur gaul tanpa batasan dan berkehidupan bagai tiada sempadan. Tetapi padahnya, adalah pada Iman dan Islam. Binasanya adalah pada diri dan masa depan. Bukan demikian itu sifat orang Muslim, orang Mukmin dan orang yang bertaqwa. Sedangkan hanya yang bertaqwa itulah yang benar-benar di atas petunjuk Allah dan benar-benar beroleh kejayaan.
“… Mereka itulah yang sebenar-benarnya berada di atas petunjuk dari Tuhan mereka dan mereka itulah yang sebenar-benarnya golongan yang berjaya”. (Al-Baqarah: 5)
Saban tahun apabila berlalunya Ramadan, kita akan meraikan Aidilfitri. Kita raikan ia dengan Takbir, Tasbih dan Tahmid. Tetapi pernahkah kita dikunjungi tanda tanya, apakah sebenarnya yang kita raikan?
Sesungguhnya, yang kita raikan adalah hakikat diri kita sebagai seorang Muslim. Kita raikan anugerah terbesar pemberian Allah ini. Islam yang telah memuliakan kita, meletakkan harga diri kita yang tinggi dan Islam yang memelihara martabat kemanusiaan kita. Islam itu adalah Islam yang telah disempurnakan oleh Allah, Islam yang menjadi penyempurna nikmat Allah kepada kita dan Islam yang telah diredhaiNya sebagai jalan hidup. Pujilah Allah di atas nikmat ini.
“Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami ke arah ini, yang tidaklah kami ini beroleh panduan hidayat jika tidak diberi petunjuk oleh Allah” (Al-A’raaf: 43)
Kerana Islam, kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia dan harta benda. Kerana Islam juga, kita terselamat daripada menjadi hamba kuli kepada nafsu. Dengan Islam juga kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada sesama manusia. Islam jugalah yang menjadikan kita berdiri mulia, walaupun sebagai minoriti Ghuraba’ di tengah ramai.
Bahkan Islam itu juga menjadikan kita gigih dan cekal untuk terus bertahan walau diasak dari segenap sudut yang boleh menindas. Ditindas hak-hak asasi manusia, ditindas pemikiran, ditindas idealisma perjuangan, ditindas ekonomi, ditindas sosial, ditindas siasah dan ditindas pada sekalian sudut kehidupan yang ada. Tetapi pernahkan kita merasakan Islam diri semakin rapuh dan lapuk dimakan anai-anai? Tidak sama sekali. Bahkan tekanan itulah yang menjadikan kita semakin yakin bahawa ia Sunnatullah yang menjanjikan kemenangan mutlak bagi mereka yang berjaya menempuhnya. Kita tidak pernah bersifat apologetik dengan prinsip Islam dan perintah Allah yang dijunjung bahkan kita sentiasa tegas dan berani memuliakan Islam, dan menyembah Allah di tengah-tengah dunia fitnah dan serba kontra.

Maka isikanlah keraian Aidilfitri kali ini dengan semangat juang yang tinggi. Semangat mahu melihat kalimah Allah itu ditinggikan mengatasi segala yang lain. Di situlah kunci kejayaan. Pencapaian material semata-mata tidak memberikan sebarang jaminan keselamatan sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Ambillah iktibar daripada peristiwa kejatuhan Baghdad di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Bagaimana pada tahun berkenaan, umat Islam telah berada di kemuncak kelalaian dan kecuaian terhadap perintah Allah SWT. Bahkan sebagaimana yang diterangkan oleh al-Imam Ibn Katheer Rahimahullah di dalam kitabnya al-Bidayah wa an-Nihayah betapa pada tahun berkenaan umat Islam di Baghdad terlupa untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri lantas mengqadha’nya selepas Maghrib! Dengan kecuaian mereka terhadap solat, dakwah amar makruf nahi munkar dan jihad, maka di saat itulah kebinasaan ditimpakan oleh Allah walaupun pada masa itu Baghdad adalah qiblat tamadun dan ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya pada kisah mereka itu ada pengajaran bagi mereka yang mahu berfikir.
Salam ukhuwwah dan Selamat Menyambut Hariraya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Wa Lillahil Hamd!

0 comments: